Pengeluaran KWSP 2026: Panduan Lengkap Jenis Akaun, Syarat, Cara Mohon & Inisiatif Baharu
Kos sara hidup yang semakin meningkat menjadikan perancangan persaraan lebih kritikal berbanding sebelum ini. Ramai ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ingin memahami akaun mana yang boleh diakses, dalam keadaan apa, jumlah yang dibenarkan, serta cara membuat permohonan secara dalam talian. Artikel ini menerangkan keseluruhan sistem tiga akaun KWSP, syarat dan tujuan pengeluaran bagi setiap akaun, langkah permohonan melalui i-Akaun, tempoh kelulusan, serta inisiatif baharu KWSP yang berkuat kuasa pada 2026.
Apa Itu KWSP? (KWSP vs EPF)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ialah skim simpanan persaraan untuk pekerja di Malaysia. Caruman dibuat setiap bulan oleh majikan dan pekerja, kemudian disimpan sebagai dana persaraan bagi menjamin kesejahteraan kewangan selepas bersara. Selain simpanan, KWSP menyediakan pelbagai kemudahan pengeluaran mengikut keperluan seperti pendidikan, pembelian rumah, kesihatan dan haji.
KWSP dan EPF adalah institusi yang sama: KWSP ialah nama Bahasa Melayu, manakala EPF (Employees Provident Fund) ialah nama Bahasa Inggeris.
Adakah Anda Kepunyaan B40 & M40? Or Nak tahu tarikh STR seterusnya & bantuan lain?
Penstrukturan Semula Akaun KWSP
Mulai 2024, KWSP menstruktur semula akaun ahli daripada sistem dua akaun kepada tiga akaun untuk memberikan lebih fleksibiliti. Di bawah struktur baharu, caruman bulanan dibahagikan mengikut nisbah 75:15:10:
- 75% ke Akaun Persaraan (Akaun 1) — kekal terkunci sehingga umur 55 tahun kecuali kes khas yang diluluskan kerajaan.
- 15% ke Akaun Kesejahteraan / Sejahtera (Akaun 2) — menyokong keperluan pendidikan, perumahan dan perubatan.
- 10% ke Akaun Fleksibel (Akaun 3) — boleh dikeluarkan bila-bila masa, asalkan baki minimum RM50 dikekalkan.
Nota penting: Simpanan sedia ada daripada Akaun 1 dan Akaun 2 sebelum ini kekal dalam Akaun Persaraan dan Akaun Kesejahteraan. Akaun Fleksibel bermula dengan baki sifar dan hanya bertambah melalui caruman baharu (atau pindahan sekali sahaja daripada Akaun Kesejahteraan) selepas penstrukturan berkuat kuasa.
Penstrukturan ini mengekalkan persaraan sebagai keutamaan utama sambil menyediakan dana kecemasan yang boleh diakses dengan cepat.

Baca Juga: https://stronline.my/permohonan-pengeluaran-kwsp/
Jenis Akaun KWSP: Akaun 1, 2 & 3
KWSP Pengeluaran kini dibahagikan kepada tiga akaun. Setiap akaun mempunyai tujuan, kelonggaran pengeluaran dan peranan yang berbeza dalam perancangan kewangan ahli. Memahami perbezaan ini membantu anda menentukan bila perlu menyimpan, bila sesuai menggunakan dana, dan bagaimana melindungi masa depan persaraan anda.
| Akaun | Nama Akaun | Tujuan | % Caruman | Bila Boleh Dikeluarkan |
|---|---|---|---|---|
| Akaun 1 | Akaun Persaraan | Simpanan persaraan jangka panjang | 75% | Umur 55 / kes khas |
| Akaun 2 | Akaun Kesejahteraan (Sejahtera) | Rumah, pendidikan, kesihatan, haji, insurans | 15% | Tujuan diluluskan / umur 50 |
| Akaun 3 | Akaun Fleksibel | Kecemasan & keperluan jangka pendek | 10% | Bila-bila masa (baki min. RM50) |
1. Akaun Persaraan (Akaun 1)
Digunakan khusus untuk simpanan persaraan jangka panjang. Pengeluaran hanya dibenarkan apabila mencapai umur tertentu atau dalam situasi khas. Akaun ini menyimpan bahagian terbesar daripada simpanan KWSP anda. Ia bertujuan untuk pendapatan jangka panjang selepas bersara.
Ciri Utama
- Menerima 75% daripada caruman bulanan.
- Fokus kepada keselamatan persaraan dan pendapatan selepas umur 55 tahun.
- Simpanan dilaburkan untuk menjana dividen tahunan.
- Baki akan berkembang secara konsisten sepanjang tempoh bekerja.
Peraturan Pengeluaran
- Kebiasaannya tidak boleh dikeluarkan sebelum umur 55 tahun.
- Pengeluaran awal hanya dipertimbangkan untuk kes khas (contoh: hilang upaya kekal atau situasi yang diluluskan kerajaan).
- Pengeluaran penuh dibenarkan apabila mencapai umur 55 tahun atau selepas bersara.
Kepentingannya
Digunakan terutamanya ketika merancang perbelanjaan bulanan selepas berhenti kerja.
2. Akaun Sejahtera (Akaun 2)
Membantu ahli membuat pengeluaran bagi tujuan tertentu seperti pendidikan, perumahan dan kesihatan. 15% daripada caruman bulanan mengalir ke dalam Akaun Sejahtera. Akaun ini menyokong keperluan hidup utama yang sering timbul semasa bekerja.
Kegunaan yang Dibenarkan
Ahli boleh membuat pengeluaran bagi tujuan berikut (tertakluk kepada syarat):
- Pendidikan (diri, anak, pasangan)
- Pembelian atau pembinaan rumah
- Rawatan perubatan
- Perlindungan Insurans / Takaful
- Menunaikan haji
- Pengeluaran khas usia 50 tahun
Kaedah Permohonan
- Mohon secara dalam talian melalui i-Akaun KWSP, atau hadir ke cawangan KWSP terdekat.
- Dokumen sokongan diperlukan mengikut tujuan pengeluaran.
Kepentingannya:
Membantu ahli mengurus perbelanjaan penting hidup tanpa mengganggu simpanan persaraan di Akaun 1.
Pengeluaran Sebahagian Akaun 2:
- Ahli boleh memohon pengeluaran sebahagian sebelum umur 55 tahun sekiranya tujuan pengeluaran memenuhi kriteria yang dibenarkan oleh KWSP.
- Pengeluaran ini bertujuan untuk menyokong keperluan penting dalam kehidupan tanpa menjejaskan simpanan persaraan jangka panjang.
- Setiap permohonan perlu disertakan dengan dokumen sokongan lengkap yang sepadan dengan tujuan pengeluaran, seperti surat tawaran universiti, resit pembelian rumah, atau laporan perubatan.
- Permohonan boleh dikemukakan dengan mudah secara dalam talian melaluiportal i-Akaun atau dibuat secara manual di kaunter mana-mana cawangan KWSP.
3. Akaun Fleksibel (Akaun 3)
Akaun yang memberi kebebasan pengeluaran lebih cepat dan mudah mengikut keperluan semasa. Akaun ini memberikan akses yang cepat dan mudah kepada sebahagian simpanan KWSP anda untuk keperluan jangka pendek atau kecemasan. Dengan adanya akaun ini, ahli dapat menangani perbelanjaan yang tidak dijangka tanpa menjejaskan simpanan jangka panjang untuk persaraan.
- Menerima 10% daripada caruman bulanan KWSP.
- Bermula dengan baki RM0 selepas penstrukturan dilaksanakan.
- Baki dalam akaun ini hanya akan bertambah melalui caruman baharu atau pindahan sekali sahaja daripada Akaun Kesejahteraan.
| Akaun | Boleh Pengeluaran Setiap Masa? | Nota |
|---|---|---|
| Akaun 1 (Persaraan) | Tidak (kecuali kes khas) | Selepas umur 55 atau situasi diluluskan |
| Akaun 2 (Sejahtera) | Ya, untuk tujuan diluluskan sahaja | Perlu dokumen sokongan |
| Akaun 3 (Fleksibel) | Ya — Setiap masa | Kekalkan baki minimum RM50 |
Akaun Fleksibel (Akaun 3) ialah satu-satunya akaun KWSP yang membenarkan pengeluaran bila-bila masa.
Baca Juga: https://stronline.my/pengeluaran-kwsp-2025/
Syarat Umum Pengeluaran KWSP
Syarat bergantung kepada jenis pengeluaran dan akaun yang terlibat. Antara syarat umum:
- Menepati umur kelayakan mengikut kategori.
- Tujuan pengeluaran mesti sah dan disokong dokumen (untuk Akaun 2).
- Status pekerjaan dan caruman aktif (untuk sesetengah kategori).
- Akaun bank aktif atas nama sendiri (akaun bersama tidak dibenarkan).
Pengeluaran KWSP Akaun 3 (Akaun Fleksibel): Setiap Masa, Minimum RM50
Akaun 3 membolehkan ahli membuat pengeluaran pada bila-bila masa untuk keperluan harian, kecemasan dan perbelanjaan jangka pendek.
Syarat kelayakan:
- Ahli KWSP warganegara atau bukan warganegara.
- Berumur di bawah 55 tahun.
- Mempunyai baki minimum RM50 dalam Akaun 3.
- Akaun bank aktif atas nama sendiri (Simpanan atau Semasa sahaja).
Jumlah pengeluaran: Minimum RM50; maksimum sehingga baki Akaun 3 (selepas kekalkan RM50). Tiada had maksimum selagi baki mencukupi.
Dokumen sokongan: Tidak diperlukan. Pengeluaran Akaun 3 tidak memerlukan sebarang dokumen.
Kaedah bayaran: Dikreditkan terus ke akaun bank (Simpanan/Semasa), biasanya dalam 3–7 hari bekerja.
Kelebihan Akaun 3: akses mudah melalui aplikasi tanpa ke kaunter, sokongan kecemasan tanpa berhutang, melindungi simpanan Akaun 1 & 2, serta proses ringkas dan pantas.
Pengeluaran KWSP Akaun 2 (Sejahtera) & Tujuan Dibenarkan
Akaun 2 boleh dikeluarkan untuk tujuan tertentu (tertakluk syarat dan dokumen sokongan). Ahli juga boleh membuat pengeluaran sebahagian apabila mencapai umur 50 tahun sebelum bersara. Tujuan utama yang dibenarkan:
- Pendidikan (diri, pasangan, anak, ibu bapa)
- Pembelian atau pembinaan rumah
- Mengurangkan / menyelesaikan baki pinjaman perumahan
- Ansuran bulanan pinjaman perumahan
- Perumahan Fleksibel & Perumahan PR1MA
- Rawatan perubatan / penyakit kritikal
- Perlindungan Insurans / Takaful (i-Lindung)
- Menunaikan haji
- Pengeluaran khas umur 50 tahun
- Skim i-Sayang (pindah 2% caruman ke akaun pasangan)
Pengeluaran KWSP Akaun 1 (Persaraan), Akaun 55 & Akaun Emas
Apabila ahli mencapai umur 55 tahun, simpanan Akaun 1 dan Akaun 2 digabungkan menjadi Akaun 55. Pada peringkat ini ahli boleh memilih:
- Pengeluaran penuh
- Pengeluaran sebahagian (tiada jumlah minimum)
- Bayaran berkala / bulanan
- Gabungan sebahagian + bulanan
- Bayaran dividen tahunan automatik
- Bayaran ke Institusi Pelaburan Dibenarkan (IPD)
Jika ahli terus bekerja selepas 55 tahun, semua caruman baharu dimasukkan ke Akaun Emas, yang hanya boleh dikeluarkan apabila mencapai umur 60 tahun.
Kategori Pengeluaran KWSP
Pengeluaran ini melibatkan Akaun 2 (Kesejahteraan) dan Akaun 3 (Fleksibel).
| Kategori | Bila Digunakan | Akaun Terlibat | Contoh |
|---|---|---|---|
| Pengeluaran Sebahagian | Sebelum umur 55 tahun | Akaun 2 / Akaun 3 | Rumah, pendidikan, perubatan, haji |
| Pengeluaran Penuh | Umur 55 / 60 / kes khas | Akaun 55 / Akaun Emas | Persaraan, berhijrah, hilang upaya |
Jenis Pengeluaran KWSP (Pengeluaran Sebahagian)


1. Pengeluaran Umur 50 Tahun KWSP
Untuk persediaan awal sebelum persaraan.
Akaun: Akaun 2
Syarat:
- Umur 50 hingga 54 tahun
- Boleh keluarkan sebahagian atau keseluruhan Akaun 2
- Sekali sahaja
2. Pengeluaran Pendidikan
Untuk membayar yuran pengajian diri, pasangan, anak atau ibu bapa.
Akaun: Akaun 2
Syarat:
- Program dari Sijil Tahap 3 hingga PhD
- Kursus mesti diluluskan KWSP
- Perlu surat tawaran / invois / bukti pengajian

3. Pengeluaran KWSP Untuk Beli Rumah
Ahli boleh membuat pengeluaran KWSP untuk membina rumah jika belum pernah menggunakan kemudahan pembelian atau pembinaan rumah sebelum ini, dan rumah tersebut dibina di atas tanah milik sendiri atau pasangan.
Syarat:
- Nama ahli atau pasangan mesti tertera sebagai pemilik pada geran tanah, termasuk geran kongsi yang turut diterima.
- Geran tersebut perlu dikemukakan bagi mengesahkan hak pemilikan dan bahagian tanah yang akan digunakan bagi tujuan pembinaan.

4. Bina Rumah
Ahli layak memohon jika
- berumur di bawah 55 tahun
- mempunyai baki minimum RM500 dalam Akaun 2.
- Rumah yang ingin dibina mestilah didirikan di atas tanah milik sendiri atau pasangan
- sama ada pembiayaan dibuat melalui institusi pinjaman yang diiktiraf atau menggunakan dana sendiri.
Permohonan hanya diterima sekiranya ahli tidak pernah menggunakan kemudahan pengeluaran perumahan sebelum ini, atau pernah membuat pengeluaran tetapi rumah tersebut telah dijual atau tidak lagi dimiliki.
Selain itu, perjanjian pembinaan rumah mestilah masih dalam tempoh sah dan tidak melebihi tiga tahun dari tarikh permohonan dikemukakan.
5. Mengurangkan Atau Menyelesaikan Baki Pinjaman Perumahan
Ahli boleh menggunakan simpanan Akaun 2 untuk membantu mengurangkan atau menyelesaikan baki pinjaman rumah sendiri atau pasangan, selagi rumah tersebut telah dibeli atau dibina dan didaftarkan atas nama ahli. Permohonan hanya layak jika:
- ahli berumur di bawah 55 tahun
- mempunyai baki minimum dalam Akaun 2
- pinjaman perumahan masih aktif dengan institusi yang diiktiraf
- permohonan hanya boleh dibuat sekali dalam tempoh setahun
6. Ansuran Bulanan Pinjaman Perumahan
Ahli yang menghadapi komitmen bayaran rumah boleh menggunakan simpanan Akaun 2 untuk membantu menampung bayaran ansuran bulanan pinjaman perumahan. Pengeluaran ini bertujuan memberikan ruang kewangan sementara, sama ada untuk beberapa bulan atau sehingga keadaan kembali stabil.
Syarat:
- ahli mestilah berumur di bawah 55 tahun
- mempunyai baki mencukupi dalam Akaun 2
- memiliki rumah kediaman yang telah dibeli atau dibina
- mempunyai pinjaman perumahan yang masih berjalan dengan institusi yang diiktiraf
- dan bayaran ansuran rumah sudah pun bermula
7. Perumahan Fleksibel
kim ini membantu ahli meningkatkan kelayakan pembiayaan perumahan dengan memanfaatkan simpanan KWSP yang sedia ada dan juga caruman masa hadapan. Sejumlah amaun daripada Akaun 2 akan diasingkan sebagai sokongan tambahan dalam penilaian pinjaman, di mana pihak bank mengambil kira caruman KWSP bulanan sebagai sebahagian daripada pendapatan pemohon.
Syarat Kelayakan
- Berumur di bawah 54 tahun
- Membeli atau membina rumah untuk didiami
- Mempunyai pinjaman perumahan aktif dengan institusi kewangan yang diiktiraf KWSP
8. Perumahan PR1MA
Ahli KWSP boleh memanfaatkan simpanan yang ada sekarang serta caruman masa hadapan untuk membantu memiliki rumah PR1MA pertama. Kemudahan ini memberi sokongan kewangan tambahan bagi mereka yang ingin membeli kediaman mampu milik di bawah projek PR1MA.
9. Pengeluaran KWSP Untuk Haji
Ahli KWSP beragama Islam boleh memohon menggunakan sebahagian simpanan dalam Akaun 2 bagi membantu menampung kos menunaikan haji, sekiranya simpanan di Tabung Haji tidak mencukupi. Kemudahan ini disediakan sebagai sokongan kewangan tambahan untuk jemaah yang telah mendapat giliran menunaikan haji.
Syarat Kelayakan
- Berumur di bawah 55 tahun
- Telah menerima tawaran rasmi untuk menunaikan haji daripada Lembaga Tabung Haji
- Belum pernah membuat pengeluaran haji sebelum ini
- Simpanan Tabung Haji sedia ada tidak mencukupi untuk menampung kos penuh

10. Kesihatan
Ahli yang memerlukan bantuan kewangan untuk rawatan penyakit serius atau peralatan perubatan tertentu boleh menggunakan simpanan dalam Akaun 2. Kemudahan ini boleh digunakan untuk menampung kos rawatan diri sendiri serta ahli keluarga terdekat seperti ibu bapa, pasangan, adik-beradik kandung, dan anak-anak.
Syarat Kelayakan
- Berumur di bawah 55 tahun
- Mempunyai baki mencukupi dalam Akaun 2
- Kos rawatan tidak ditanggung sepenuhnya oleh majikan
- Penyakit atau peralatan perubatan mesti berada dalam senarai yang diiktiraf KWSP
- Rawatan bukan rawatan alternatif atau tidak diperakui

11. Simpanan Melebihi 1 Juta
Ahli yang memiliki jumlah simpanan KWSP melebihi RM1 juta dibenarkan mengeluarkan dan menguruskan lebihan tersebut mengikut keperluan sendiri. Kemudahan ini memberi lebih kawalan kepada ahli dalam merancang dan menggunakan bahagian simpanan yang melebihi had tersebut.
12. Hilang Upaya
Ahli yang disahkan tidak lagi berupaya bekerja akibat masalah fizikal atau mental yang kekal boleh memohon untuk mengeluarkan keseluruhan simpanan KWSP mereka. Penilaian akan dibuat oleh pegawai perubatan dan Lembaga Perubatan KWSP untuk mengesahkan keadaan hilang upaya tersebut. Permohonan boleh dihantar di mana-mana Pejabat KWSP, dan permohonan lengkap biasanya diproses dalam tempoh sekitar 21 hari bekerja.
Syarat Kelayakan
- Berumur di bawah 55 tahun
- Mempunyai simpanan dalam KWSP
- Tidak lagi mempunyai keupayaan untuk bekerja
- Disahkan hilang upaya secara kekal oleh pegawai perubatan
- Perlu menjalani penilaian rasmi oleh Lembaga Perubatan KWSP (temujanji akan dijadualkan semasa penghantaran permohonan)

13. Meninggalkan Negara
Ahli yang tidak lagi memegang taraf warganegara Malaysia atau memilih untuk menetap secara tetap di luar negara boleh memohon untuk mengeluarkan keseluruhan simpanan KWSP mereka. Ini termasuk individu yang berpindah sebagai penduduk tetap, pekerja asing yang pulang ke negara asal, atau sesiapa yang telah menamatkan hubungan kewarganegaraan dengan Malaysia.
14. Meninggal Dunia
Simpanan KWSP akan diserahkan kepada waris apabila ahli meninggal dunia, dan dana tersebut dapat membantu mengurangkan tekanan kewangan keluarga termasuk kos pengurusan jenazah.
Bagi memudahkan proses, ahli disarankan membuat penamaan supaya waris boleh menerima bayaran tanpa urusan yang rumit.
Selain itu, keluarga yang layak juga boleh diberikan Bantuan Kematian sebagai sokongan tambahan.
15. Pekerja Berpencen / Persaraan Pilihan
Kakitangan kerajaan yang bertukar ke skim pencen boleh memohon pengeluaran KWSP sekali sahaja sebelum mencapai umur 55 tahun.
Hal ini tertakluk kepada pengesahan rasmi bahawa individu tersebut telah dilantik di bawah skim perjawatan berpencen oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Kemudahan ini melibatkan pegawai sektor awam termasuk anggota tentera, kakitangan Kementerian Pertahanan dan mana-mana agensi kerajaan yang mencarum KWSP sebelum menerima status berpencen.
Kelayakan
- Berumur di bawah 55 tahun
- Bertugas dalam sektor kerajaan / pertahanan / perkhidmatan tentera dan merupakan pencarum KWSP
- Telah diberikan status berpencen secara rasmi oleh JPA
Jenis Pengeluaran KWSP (Pengeluaran Sebahagian)

16. Pengeluaran KWSP Umur 55 Tahun
Akaun 1 + Akaun 2 → menjadi Akaun 55
Pilihan:
- Pengeluaran penuh
- Pengeluaran sebahagian
- Bayaran berkala setiap bulan
Jika terus bekerja, caruman baru masuk ke Akaun Emas.
17. Pengeluaran KWSP Umur 60 Tahun
Boleh keluarkan Akaun 55 + Akaun Emas sama ada penuh atau sebahagian.
Cara Mohon Pengeluaran (Online & Kaunter) — Langkah Lengkap
Ahli boleh memohon melalui i-Akaun secara dalam talian (digalakkan) atau hadir ke cawangan KWSP terdekat.
Langkah Pengeluaran Akaun 3 (Fleksibel) melalui i-Akaun
- Log masuk aplikasi atau portal i-Akaun KWSP.
- Pilih Pengeluaran (Withdrawal) → Keluarkan Simpanan Anda.
- Pilih Akaun Fleksibel (Akaun 3) → Keluarkan Sekarang.
- Masukkan jumlah pengeluaran.
- Sahkan / kemas kini maklumat akaun bank.
- Tandakan Perakuan Ahli dan klik Terima.
- Masukkan kod TAC yang dihantar melalui SMS.
- Paparan “Permohonan Berjaya Dihantar” akan muncul.

Langkah Pengeluaran Akaun 1
Log masuk i-Akaun → pilih menu Pengeluaran dan jenis Akaun 1 → isi borang digital → muat naik dokumen sokongan (cth. salinan MyKad) → hantar dan tunggu kelulusan.
Langkah Pengeluaran Akaun 2
Log masuk i-Akaun → pilih kategori pengeluaran ikut tujuan (rumah, perubatan, pendidikan, haji) → lengkapkan borang → muat naik dokumen berkaitan → hantar dan tunggu pengesahan.
Permohonan Akaun 2 boleh dibuat bila-bila masa dengan syarat baki mencukupi dan dokumen lengkap.
Tempoh Lulus & Kaedah Bayaran
- Akaun 3 (Fleksibel): dikreditkan dalam 3–7 hari bekerja selepas kelulusan.
- Akaun 1 / 2 secara umum: 3–5 hari bekerja selepas diluluskan; pengeluaran penuh melalui kaunter/i-Akaun sehingga 7 hari bekerja.
- Umur 55 (Akaun 55): sekitar 10–15 hari bekerja selepas dokumen disahkan.
- Umur 60 (Akaun Emas): lebih kurang dua minggu bekerja.
- Pengeluaran si mati (oleh waris): sekitar 21–30 hari bekerja selepas dokumen lengkap.
Bayaran hanya dikreditkan ke akaun bank milik ahli sendiri (Simpanan atau Semasa). Akaun bersama tidak dibenarkan.
Rujukan & Hubungi KWSP
- Talian Khidmat Pelanggan KWSP: 03-8922 6000
- Portal Rasmi: kwsp.gov.my
- i-Akaun: iakaun.kwsp.gov.my
- Facebook: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
Untuk syarat terkini, langkah permohonan dan senarai dokumen bagi setiap jenis pengeluaran, rujuk terus maklumat rasmi di portal KWSP.
Soalan Lazim: Pengeluaran KWSP
Kesimpulan
Sistem KWSP kini terbahagi kepada tiga akaun mengikut nisbah 75:15:10 — Akaun Persaraan (1), Akaun Sejahtera (2), dan Akaun Fleksibel (3). Akaun 3 membenarkan pengeluaran bila-bila masa dengan minimum RM50 tanpa dokumen, manakala Akaun 2 menyokong keperluan besar hidup (rumah, pendidikan, kesihatan, haji) dan Akaun 1 dikhaskan untuk persaraan sehingga umur 55. Pada 2026, KWSP turut memperkenalkan pilihan pengeluaran bulanan sewaktu bersara dan pemindahan baki kepada anak/pasangan. Semua permohonan boleh dibuat dengan mudah melalui i-Akaun atau di cawangan KWSP. Gunakan kemudahan ini secara bijak supaya simpanan persaraan jangka panjang tetap terpelihara.



